Kesihatan

Wednesday, September 30, 2009

Jadilah pesakit berilmu

Olehl DR. ABD. HAMID MAT SAIN (Pakar Bedah Columbia Asia Medical Centre

Seremban, Negeri Sembilan)
MALAYSIA sedang bekerja keras menuju ke arah menjadi sebuah negara maju. Salah satu daripada ciri-ciri negara maju adalah mereka perlu mempunyai budaya ilmu yang tinggi.

Ilmu pengetahuan yang akan kekal dengan seseorang buat selama-lamanya adalah ilmu pengetahuan yang praktikal – iaitu boleh digunakan di dalam kehidupan seharian.

Ilmu pengetahuan mengenai kesihatan umum dan sesetengah isu perubatan adalah contoh ilmu pengetahuan yang berbentuk utilitarian/berfaedah.

Malangnya, jika dilihat pada aliran persekolahan masa kini di Malaysia, pedagogi pendidikan pada umumnya hanya tertumpu kepada menyiapkan seseorang penuntut itu menghadapi peperiksaan besar.

Ilmu yang diajar adalah untuk digunakan di dalam menjawab soalan peperiksaan semata-mata. Jauh sekali untuk bekalan sebagai alat kehidupan masa hadapan.

Dari senario pendidikan awal di atas, maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia pada umumnya mempunyai pengetahuan yang boleh dikatakan cetek tentang isu-isu kesihatan dan perubatan.

Walaupun ilmu-ilmu yang praktikal ini boleh didapati di luar sistem persekolahan dengan bacaan sendiri, hasil dari sistem persekolahan yang terlalu mementingkan peperiksaan dari penghayatan ilmu itu sendiri, maka rakyat Malaysia bukanlah satu masyarakat yang paling gemar membaca.

Ramai rakyat Malaysia berhenti membaca sebaik sahaja tamat zaman persekolahan tidak kiralah sama ada selepas SPM ataupun universiti.

Apakah kaitannya kurang ilmu pengetahuan, tabiat kurang membaca dengan kesihatan umum rakyat Malaysia?

Jika dilihat pada statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, antara punca utama kematian pesakit di hospital-hospital awam di Malaysia adalah keracunan darah (Septisemia).

Tetapi, jika dibandingkan statistik sama di negara-negara maju seperti Eropah Barat, Amerika Syarikat dan Jepun, maka punca utama kematian adalah penyakit kardiovaskular.

Kematian akibat keracunan darah tidak tersenarai langsung di dalam top 10 sebab-sebab kematian di hospital di negara-negara maju tersebut.

Mengapakah ada perbezaan sedemikian? Sebenarnya jika dihalusi penyebab kepada keracunan darah yang membawa maut itu, ia boleh berpunca daripada penyakit-penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Banyak jangkitan kuman ini adalah berpunca dari penyakit awal yang lambat dirawat. Contohnya, radang apendiks yang sudah pecah, ulser perut atau duodenum yang pecah dan usus yang pecah.

Kesemua penyakit di atas tidak sepatutnya menjadi punca kematian jika pesakit mempunyai sedikit pengetahuan tentang penyakit dan mendapat rawatan awal.

Masyarakat di negara maju amat mengambil berat dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengetahui mereka menghidapi penyakit-penyakit yang disebutkan tadi.

Kerana itulah di negara-negara maju, penyakit yang disebut di atas jarang menjadi punca kematian.

Malangnya di Malaysia, akibat daripada kurang peka, lambat mendapat rawatan atau tidak mahu dirawat secara teknik moden, penyakit yang sepatutnya tidak membawa maut telah menyebabkan sesebuah keluarga kehilangan ayah, ibu, anak, suami, isteri mahupun orang tersayang.

Kita ambil contoh radang apendiks. Ia merupakan salah satu penyakit yang amat kerap berlaku terutamanya di kalangan orang muda.

Sayangnya, masih ramai pesakit atau penjaga yang memandang ringan dan sambil lewa jika berlaku gejala sakit perut, sehinggalah peringkat yang parah yang menyebabkan apendiks tersebut pecah sebelum sempat dikeluarkan oleh pakar bedah.

Apendik yang pecah mengakibatkan najis terkeluar daripada usus dan masuk ke dalam rongga perut yang boleh menyebabkan keracunan darah. Berlakulah jangkitan kuman yang amat dahsyat di dalam rongga perut yang akan mengakibatkan keracunan di dalam darah.

Secara umumnya, walaupun tanpa ilmu perubatan yang tinggi, kita boleh memahami betapa bahayanya senario ini kepada pesakit dan bagaimana teknik perubatan alternatif tidak boleh mengatasi masalah ini.

Begitu jugalah dengan penyakit ulser peptik yang terjadi akibat kelalaian merawat penyakit yang kerap berlaku di kalangan masyarakat moden iaitu gastritis (radang dinding perut) atau yang kerap disebut sebagai penyakit gastrik oleh masyarakat umum di Malaysia.

Penyakit yang memberi kesakitan yang pedih di bahagian perut atau sering disebut hulu hati ini kerapkali dirawat dengan mengurut.

Bagaimanakah kesakitan yang disebabkan oleh asid yang terdapat di dalam rongga perut (yang turut menghakis organ perut) di dalam rongga manusia boleh dirawat dengan mengurut?

Pesakit yang berilmu akan dapat mengenal pasti sendiri soalan ini. Inilah sebabnya kenapa rakyat Malaysia perlu mula membaca ilmu-ilmu kesihatan yang asas yang boleh menyelamatkan nyawa mereka sendiri atau orang-orang tersayang.

Saya telah banyak kali menemui pesakit-pesakit untuk penyakit yang saya sebutkan di atas mendapatkan rawatan mengurut untuk mengubati penyakit mereka.

Kerapkali juga pesakit mendapat rawatan urut dari pengamal urut yang tidak mempunyai pengetahuan apa-apa tentang anatomi, fisiologi dan patologi manusia.

Tambah mendukacitakan apabila ada penyakit yang kian teruk. Walau bagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa mengurut mempunyai tempatnya tersendiri di dalam rawatan penyakit.

Antara penyakit yang boleh diubati dengan mengurut adalah seperti penyakit-penyakit Muskuloskeletal (otot dan tulang). Itu pun pesakit perlu mengetahui dan membezakan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang struktur-struktur tersebut ataupun tidak.

Pesakit yang mempunyai pengetahuan umum di dalam ilmu perubatan akan dapat membezakan sama ada kesakitan yang dialami itu boleh dipulihkan dengan rawatan teknik moden ataupun alternatif.

Ini adalah ciri-ciri masyarakat negara maju yang saya telah sebutkan di atas tadi. Pesakit perlu mempunyai pengetahuan asas agar dapat membezakan jenis rawatan mana yang boleh digunakan untuk jenis penyakit yang mana.

Contohnya seperti rawatan mengurut tidak boleh digunakan di dalam rawatan penyakit-penyakit dalaman, terutamanya yang melibatkan organ dalaman yang mudah pecah seperti penyakit Apendisitis Akut dan Gastritis.

Pengetahuan tersebut adalah kritikal dalam menyelamatkan nyawa mereka sendiri.

Dengan adanya ilmu yang asas tentang penyakit-penyakit yang kerap berlaku di dalam masyarakat dan juga proses umum punca dan kejadian penyakit tersebut, maka seseorang dapat membuat perhitungan sewajarnya untuk mendapatkan rawatan awal daripada para doktor atau pakar yang berkenaan.

Ilmu asas tentang kesihatan dan perubatan juga penting untuk masyarakat membuat penilaian tentang kesahihan seseorang pengamal perubatan alternatif yang bercambah di tengah-tengah masyarakat moden masa kini.

Keterbukaan kerajaan dan masyarakat terhadap perubatan alternatif haruslah dilihat dalam konteks perubatan yang didasari ilmu pengetahuan.

Memandangkan kesukaran oleh semua pihak yang terlibat dalam perubatan menstrukturkan sistem yang boleh memantau dan memastikan kesahihan pengamalan semua bentuk perubatan didasari ilmu pengetahuan, maka pesakit juga perlu berkongsi tanggungjawab dengan menjadi pengguna yang prihatin dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri.

Paling penting, mereka juga harus mempunyai ilmu pengetahuan yang asas di dalam membuat penilaian kesihatan untuk diri sendiri ataupun orang di bawah tanggungan mereka.


Utusan ARKIB : 23/07/2006

0 comments: