How to Win Friends and Influence People

Friday, December 14, 2007




Buku motivasi yang dikarang oleh Dale Carnegie ini pertama kali diterbitkan pada 1937 dan ia berkisar teknik praktikal untuk menguasai kemahiran berkomunikasi serta teknik untuk menjadi seorang ketua yang disegani dan disayangi. Kajian yang memakan masa lebih kurang 10 tahun ini merupakan topik perbincangan yang ditunggu-tunggu masyarakat Amerika yang dahagakan ilmu pada ketika itu setelah lebih daripada 2500 orang penduduk Amerika telah menyertai forum pertama yang dikendalikan Dale Carnegie pada tahun 1935 untuk membincangkan teknik seperti yang dicatatkannya didalam buku ini.

Terdapat 4 jenis keperluan komunikasi efektif yang diketengahkan didalam buku ini: 1. Bagaimana menguasai orang lain 2. Kaedah untuk orang lain menyukai kita 3. Kaedah untuk memenangi pemikiran orang lain kepada idea kita 4. Cara untuk menjadi ketua yang mampu merubah pengikutnya tanpa menimbulkan kekecewaan dan penolakan.

Untuk situasi pertama, Dale Carnegie telah menyenaraikan 3 teknik yang berkesan bagi menguasai orang lain baik dalam urusan perniagaan mahupun dalam kehidupan seharian. Apa yang perlu dilakukan bagi mendapat kepercayaan orang lain, kita perlu menjaga pergaulan dan percakapan seperti;
1. Tidak mengkritik atau mempersenda tindakan atau tingkah-laku seseorang. Ini adalah kerana telah menjadi fitrah manusia untuk bertindak membela diri demi menjaga maruah dan harga diri.
2. Memberikan kata-kata penghargaan yang jujur dan ikhlas. amat berkesan kerana ia secara tidak langsung membuatkan orang tersebut merasai dihargai.
3. Merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan kemahuanya sendiri. Tidak bijak untuk kita memberikan pendapat sekiranya pihak lawan tidak berkeinginan yang sama.

Situasi kedua adalah bagi menjadikan kita orang yang disukai dan mudah didekati mempunyai 6 prinsip iaitu dengan:
1. Benar-benar tertarik untuk mendalami seseorang yang lain. Sesiapa sahaja akan merasakan diri mereka menarik dan penting jika diperlakukan demikian.
2. Memberikan senyuman seikhlas mungkin
3. Mengingati nama mereka.
4. Menjadi pendengar yang baik dan setia.
5. Membiarkan mereka bercakap berkenaan kesukaan mereka.
6. Membuatkan mereka merasa penting (sejujur mungkin)

Situasi ketiga pula merupakan kaedah-kaedah yang telah dibuktikan dapat memenangi pemikiran orang lain kepada idea kita. Terdapat 12 kaedah kesemuanya seperti berikut:
1. Mengelakkan diri dari turut bertikam lidah. Tiada penyelesaian dengan pertelingkahan malahan membawa kepada perasaan benci dan tertindas. Cuba bersetuju dengan tanggapan pihak lawan sebelum memberikan pendapat kita.
2. Tidak sekali-kali menyatakan “Engkau Silap/Salah” pada pendapat orang lain. Sebaliknya, cuba menghormati pendapat itu sebelum memberikan pendapat sendiri.
3. Mengakui “Saya Silap/Salah” terlebih dahulu jika melakukan kesalahan dan lakukan secara jujur.
4. Memulakan bicara dengan mesra. Orang yang sedang marah juga akan sejuk hatinya jika disapa sebegitu.
5. Cuba mendapatkan persetujuan atau kata-kata “Benar” dari pihak lawan seawal perbincangan. Ini akan memberi ruang kepada orang tersebut terbuka hati untuk mendengar pendapat kita.
6. Membenarkan seseorang lain menguasai perbualan. Menjadi pendengar yang baik sebetulnya lebih memberikan faedah.
7. Cuba sedarkan seseorang itu bahawa merekalah yang telah menyumbang kepada idea perbincangan.
8. Menganalisa situasi mengikut pandangan pihak lawan. Cuba letakkan diri pada tempat mereka.
9. Menunjukkan simpati kepada kemahuan dan pendapat orang lain. Ini sebenarnya adalah fitrah manusia untuk mendapat simpati dalam banyak keadaan.
10. Menyatakan permohonanatau permintaan dengan cara/alasan yang lebih terhormat.
11. Menyampaikan idea dalam bentuk yang lebih menarik dan unik.
12. Menyampaikan idea berbentuk cabaran. Manusia cenderung kepada pertandingan untuk membuktikan mereka lebih penting dari yang lain.

Kaedah terakhir adalah untuk menjadi seorang ketua yang mampu merubah manusia tanpa menjejaskan ketaatan dan kepercayaan serta mengakibatkan kekecewaan. Dale Carnegie telah menyenaraikan 9 prinsip utama seperti berikut:
1. Mulakan dengan pujian serta penghargaan secara jujur sebelum menegur.
2. Menegur kesalahan seseorang secara tidak langsung.
3. Mulakan berbicara tentang kesalahan sendiri sebelum menegur kesalahan mereka.
4. Tidak menyuruh dalam bentuk arahan tetapi dalam bentuk pertanyaan.
5. Menyelamatkan air muka seseorang.
6. Memberikan penghargaan pada setiap peningkatan
7. Memberikan seseorang itu status yang baik untuk menjadi pendorong kepada perubahan dalam hidup
8. Memberikan sokongan bahawa kesilapan atau kekurangan yang lalu mudah dan mampu diatasi dan diperbaiki
9. Membuatkan mereka seronok melalukan sesuatu yang kita cadangkan itu.

Semua ini akan hanya menjadi cadangan bagi menguasai teknik komunikasi yang paling efektif tetapi tidak mampu diterjemahkan dalam perlakuan kita jika tidak dipraktikkan berulang kali dalam kehidupan seharian. Selamat beramal.

0 comments: