WASIAT OSMAN GAZI KEPADA ANAKNYA ORHAN

Sunday, December 25, 2005


Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Saya berasa gembira dan bersyukur di atas kesedaran ramai sahabat
untuk mengambil tahu tentang sejarah Khilafah Osmaniyyah. Ia adalah siri
sejarah panjang yang tidak selayaknya seorang mukmin yang da'ie
mengabaikannya. Apatah lagi untuk memahami pelbagai krisis yang melanda umat
Islam hari ini, akar umbi permasalahan itu lazimnya berbalik kepada
peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Osmaniyyah tersebut.
Kerana kekayaan sejarah itulah, Profesor Necmettin Erbakan, pemimpin
gerakan Islam di Turki pernah menyebut, "mereka yang tidak mempedulikan
sejarah, maka tiada tempat baginya di persada masa hadapan".
Osman Gazi Orhan Gazi


Kemunculan pemerintahan keluarga Bani Osman yang mengasaskan Khilafah
Osmaniyyah merupakan manifestasi fenomena tajdid bagi menghadapi gejala
riddah yang sentiasa berulang muncul dalam sejarah kehidupan manusia.
Kira-kira 50 tahun selepas kejatuhan Khilafah Abbasiyyah iaitu pada
tahun 1258M / 656H, Osman Gazi mengasaskan Kerajaan Osmaniyyah di Bursa.
Lantas mereka membuktikan apa yang disebut oleh Allah SWT di dalam
al-Quran surah al-Maidah ayat 54-56:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika murtad dari kalangan kamu dengan
berpaling dari agamaNya, nescaya Allah akan mendatangkan suatu kaum
yang Dia mengasihi mereka serta mereka itu mengasihiNya. Mereka
merendahkan diri (adzillah) terhadap orang mukmin serta bersikap tegas meletakkan
diri pada ketinggian terhadap orang-orang kafir. Merek berjihad di
jalan Allah serta tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela.
Demikian itu adalah kurniaan Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang Dia
kehendaki. Dan Allah itu Maha Luas limpah kurniaNya lagi Maha
Mengetahui. Sesungguhnya pembantu kamu hanyalah Allah, RasulNya serta
orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu mendirikan solat serta
mengeluarkan zakat, sedang mereka itu adalah orang-orang yang ruku' (patuh kepada
Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya serta
orang-orang yang beriman itu sebagai penolongnya, maka sesungguhnya (mereka itu
adalah) golongan Allah, menjadi golongan yang menang"

Kehidupan Osman Gazi yang memerintah sehingga 1326, adalah kehidupan
yang penuh dengan siri jihad. Perjuangan beliau dan kekuatan bala
tenteranya berhadapan dengan serangan kuasa Byzantine telah meluaskan kuasa
takluknya dari pusat pemerintahan di Bursa, berkembang pesat sehingga
Sultan Alaeddin Keykubat (Kaukabat) yang memerintah kerajaan Seljuk Rome
menyerahkan kuasa dan jajahan takluknya untuk duduk di bawah lembayung
imarah Osmaniyyah pada tahun 1299 tersebut.

Ketika gering di pembaringan, Sultan Osman Gazi telah menyampaikan
wasiatnya yang menjadi garis panduan dan ikutan para Sultan yang meneruskan
teraju pemerintahan Osmaniyyah selepasnya. Wasiat yang disampaikan
kepada anaknya Orhan (Orkhan) Gazi itu telah dicatat oleh muarrikh
(pencatat sejarah) bernama Asik Celebi (Aa-shik Chelebi). Wasiatnya berbunyi:

"Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan
sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu
menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka
bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama' untuk mencari jalan penyelesaian"

"Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang
yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah
sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan
hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli
Syariah..."

"Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah
keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan
cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah
terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh..."

"Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana
syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup
dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah
wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!"

Nasihat inilah yang menjadikan pemerintah Osmaniyyah sangat menitik
beratkan ilmu dan institusi keilmuan, tentera dan institusi ketenteraan.
Mereka juga sangat memuliakan ulama serta memelihara kewajipan jihad. Di
bawah bendera Osmaniyyah itulah, sinaran Islam tersebar sehingga ke
segenap penjuru alam; cemerlang memancar dari tembok Vienna di Austria
sehinggalah ke tangan Haji Abdul Rahman Limbong di Tanah Melayu dan
pendukung revolusi petani menentang penjajahan British.

Institusi ulama sangat penting kepada sekalian pemerintah Bani Osman.
Gandingan ulama seperti Sheikh Ak Semsettin itulah yang menghasilkan
Sultan Muhammad al-Fatih yang kemudiannya menawan Constantinople pada
tahun 1453. Bahkan konspirasi menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II itu pun
terpaksa menggunakan 'fatwa' oleh Sheikh Hamdi Afandi Mali disebabkan oleh
sentimen masyarakat yang tidak mungkin merestui sebarang tindakan yang
tidak mendapat lampu hijau para Ulama'.

"Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengiktibaran bagi mereka
yang berpemikiran" (Surah Yusuf: 111)

ABU SAIF
RABIUL AKHIR 1425H

0 comments: